Total Pageviews

pencinta ilmu. Powered by Blogger.

Wednesday, 5 September 2012

ARTIKEL 3 : GURU SASARAN LEPAS GERAM

BY : WAN ISMAYUZI BINTI WAN MANSOR


TAJUK          : GURU SASARAN LEPAS GERAM

1.0       PENGENALAN


Profesion perguruan atau bekerja sebagai guru adalah antara beberapa jenis pekerjaan yang penting dalam proses pembangunan manusia, masyarakat dan negara. Profesion perguruan merupakan profesion paling utama di dalam proses penyerapan ilmu pengetahuan kepada individu dan masyarakat. Menurut Kamus Dewan (1996) guru bermaksud pendidik, pengajar dan pengasuh. Guru bertanggungjawab sebagai kaunselor, pelakon, pengadil, polis, hakim, jururawat, penulis, pekerja sosial, setiausaha dan lain- lain. Guru- guru perlu cekap memberi kebebasan kepada pelajar dalam menggunakan kebolehan mereka. Kecekapan guru merangkumi kebolehan berkomunikasi dengan orang lain, membawa idea- idea baru, membuat keputusan serta membuat kajian serta berupaya mewujudkan iklim pembelajaran yang kondusif. Guru adalah model yang menjadi contoh kepada para pelajar. Guru bertanggungjawab membina hubungan dengan setiap pelajar dan memandang mereka sebagai individu yang unik.    


Di dalam Kamus Dewan (1996) juga mentakrifkan pelajar sebagai murid atau penuntut. Pelajar adalah golongan orang yang belajar atau menuntut di sekolah, maktab, universiti. Pelajar juga adalah sesiapa yang berada di bangku sekolah dan bertujuan untuk mendapatkan pelajaran secara formal samada di sekolah ataupun sekolah rendah. Guru dan pelajar merupakan dua golongan yang tidak dapat dipisahkan dalam dunia pendidikan.  Hubungan antara guru dan murid dilihat sangat penting dalam menjamin keharmonian dan kesejahteraan generasi yang sedang dibentuk.

 Dalam era globalisasi sekarang, peranan guru menjadi semakin kompleks dan mencabar. Golongan guru hendaklah memastikan martabat perguruan sentiasa dipertingkatkan dari masa ke semasa ke tahap yang lebih tinggi dan dihormati seterusnya dapat merealisasikan Misi Nasional seperti yang digariskan oleh Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia dalam Rancangan Malaysia Ke-9. Mengikut Kamus Dewan, ‘profesion’ ialah pekerjaan terutamanya yang memerlukan pelajaran yang tinggi dan latihan yang khas misalnya dalam bidang undang-undang, senibina, perubatan, perakaunan dan lain-lain. ‘Keguruan’ pula membawa maksud tugas dan tanggungjawab kerjaya sebagai guru. Dari kedua-dua pengertian tersebut, ia memberi makna bahawa profesion perguruan sama ada tinggi atau rendah, jaya atau gagal dilihat dan dinilai oleh masyarakat dari sudut peribadi gurunya dalam pembinaan negara bangsa itu sendiri.




Description: https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhR0ZSIjwOz25AkrwOVypPXn1ZPCpcgTztoPblQZ0eLQjEqVsl8RzAZc6UcP-zujLiYd_JGWrA0gTgYI9ZwvCJNf86Aa4v15s7EJQrgQQHKX-fV_KwxyBxhT43HdRdyljSWXv_0mDO3qPrz/s1600/Guru-sekolah-kena-pukul.jpeg

Guru. Aset masa depan negara.

2.0       HUBUNGAN GURU, IBU BAPA DAN MURID


Dunia yang semakin moden pada hari ini semakin menghakis nilai dan kedudukan guru. Dewasa ini, boleh dikatakan bahawa ramai pelajar kurang menghormati guru-guru di sekolah. Perhubungan antara guru dengan pelajar tidak seakrab seperti zaman dahulu. Perkara ini wujud ada banyak kaitannya dengan sikap ibu bapa pelajar itu sendiri. Pada zaman dahulu ibu bapa begitu akrab hubungannya dengan guru-guru. Mereka sentiasa berkirim salam. Sekarang di zaman serba moden ini, keadaan seperti ini tidak wujud lagi. Jika dahulu ibu bapa sentiasa menyatakan guru berada di pihak yang benar jika mereka mendenda serta merotan anak-anak mereka.

Pada masa sekarang keadaan itu amat jauh berbeza. Sebaliknya guru-guru pula yang disalahkan jika mereka mendenda serta merotan pelajar-pelajarnya. Bagi ibu bapa sekarang, mereka lebih berpihak kepada anak-anak serta menyalahkan guru-guru. Ibu bapa pada zaman sekarang lebih memanjakan anak-anak. Jika terdapat kesan-kesan merah atau calar-calar pada badan anak-anak, mereka akan segera menyerang pihak sekolah tanpa usul periksa terlebih dahulu. Sepatutnya ibu bapa perlu berusaha mewujudkan hubungan baik dengan guru demi memastikan anak- anak mereka mendapat ilmu yang sebaiknya. Beberapa langkah boleh diambil dalam memastikan kejayaan usaha ini. Jadikan interaksi yang pertama sesuatu yang positif. Jika ibu bapa menegur dengan mesra semasa perjumpaan ibu bapa dan guru, guru akan lebih bersikap terbuka apabila dia mengemukakan sesuatu  masalah di kemudian hari. Ibu bapa disaran agar tidak marah sebelum mengetahui fakta-faktanya. Seorang murid yang paling dipercayai juga kadang kala memutarbelitkan maklumat yang penting. Ibu bapa dan guru yang tahu bahagian cerita yang berbeza boleh menyelesaikan isu itu dengan bertukar-tukar maklumat. Ibu bapa perlu mengambil sikap tidak pijak kepala guru. Sebagai seorang guru, mereka juga turut merasa marah apabila seorang ibu atau bapa mengadu kepada pengetua mengenai kelas mereka. Berbincanglah dengan guru terlebih dahulu, sebelum berjumpa dengan pengetua. Ibu bapa juga perlu sedar bahawa kebanyakan guru adalah sensitive. Mengajar adalah satu pekerjaan yang sangat peribadi.  Guru-guru adalah mereka yang dibayar untuk bertanggungjawab terhadap pemikiran dan perasaan orang lain. Berbincang dengan cara yang tidak menyinggung perasaan adalah penting.

Akhir sekali seorang guru yang baik akan mengalu-alukan dialog dengan ibu bapa  kerana ia membolehkan mereka lebih memahami pelajar-pelajar mereka. Ibu bapa mempunyai hak untuk mendapatkan maklum balas daripada guru sekerap yang boleh dan perlu diberitahu segera mengenai sesuatu masalah akademik. Seperti juga dalam mana-mana perhubungan, komunikasi adalah kunci kepada sebuah perhubungan antara ibu  bapa dan guru. Jelas di sini bahawa bukan murid sahaja yang dituntut menghormati guru, malah ibu bapa kepada murid juga mesti berbuat demikian. Walaupun status sosioekonomi dan kelayakan akademik ibu bapa mungkin melebihi guru, adab berkenaan masih wajib dipatuhi. Ibu bapa berjaya melaksanakan tugas dan aktiviti mencari rezeki dengan senang hati justeru anak-anak mereka berada dalam pengawasan kaum guru dengan baik di sekolah.


Faktor perkembangan semasa juga mempengaruhi pemikiran pelajar sekarang. Pada masa dahulu guru adalah satu-satunya sumber ilmu berbanding zaman moden yang serba canggih ini. Pada masa sekarang pelajar-pelajar boleh mendapat ilmu dari sumber-sumber lain. Ilmu boleh diperoleh dari pelbagai sumber seperti dari akhbar, televisyen dan terbaru sekali ialah melalui internet. Jadi tidak hairanlah jika pada masa sekarang pelajar-pelajar kurang menghormati guru-guru di sekolah. Sesetengah daripada mereka pula berpendapat bahawa mereka lebih berpengetahuan daripada guru-guru. Atas alasan inilah rasa hormat kepada guru-guru sekarang ini kian berkurangan.

Kedudukan guru yang semakin goyah dalam masyarakat hari ini juga merupakan salah satu penyebabnya. Pada masa dahulu guru adalah satu kerjaya yang amat disanjung oleh masyarakat. Jika ada sebarang majlis dalam sesebuah kampung gurulah yang memainkan peranan utama. Guru-guru dahulu akan duduk di barisan hadapan serta memegang jawatan-jawatan penting dalam kampung. Keadaan sekarang sudah berubah. Pada masa ini tempat-tempat guru pada masa dahulu telah diambil alih oleh tokoh-tokoh korporat, penghulu-penghulu serta ahli-ahli politik. Inilah yang menyebabkan rasa hormat kepada guru-guru semakin berkurangan. Bukan itu sahaja, malah tindakan guru sekarang yang semakin kekurangan adab dan akhlak serta peribadi yang tinggi berbanding guru- guru zaman dahulu menyebabkan mereka tidak lagi disanjung dan dihormati. Semakin hari, semakin banyak laporan- laporan media samada media cetak dan elektronik yang memaparkan kisah- kisah guru yang terlampau dan tidak langsung menampilkan imej seorang guru. Antara masalah- masalah yang popular dalam laporan akhbar melibatkan masalah etika guru antaranya, guru belasah pelajar, guru mencabul pelajar, guru merogol pelajar dan sebagainya. Kadangkala, pelajar dan ibubapa tidak boleh disalahkan seratus peratus apabila guru tidak lagi dihormati dan disangjung tinggi apabila guru sendiri yang menyebabkan masalah ini timbul. Bak kata pepatah, kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Kerjaya perguruan adalah satu kerjaya yang mulia. Namun sekarang ini, ianya seolah-olah dipandang sebagai pilihan kedua. Kedudukan guru di mata masyarakat perlu dipulihkan. Cara ini sahajalah yang dapat memberi kesedaran kepada pelajar-pelajar agar kembali menghormati guru-guru.


Description: Foto

TERTEKAN- Emosi guru yang tertekan juga boleh menggugat hubungan dengan pelajar.

Description: Foto

ASET- pelajar dan guru adalah aset masa depan negara. Jangan kerana persengketaan, hubungan harmoni menjadi retak, sekali gus merugikan semua pihak.


Guru acap kali dibandingkan umpama lilin, membakar diri untuk kesejahteraan orang lain. Pengorbanan guru tidak ternilai. Walaupun begitu, kebanyakan pelajar zaman sekarang tidak menghargai jasa guru. Sebagai guru yang bertanggungjawab, biasanya tindakan akan diambil terhadap pelajarnya andai mereka melakukan kesalahan supaya kesalahan yang sama tidak diulangi. Malangnya sesetengah pelajar menganggap tindakan tersebut sebagai satu bentuk penghinaan dan merendahkan maruah diri mereka dalam kalangan pelajar lain.

Pada zaman dahulu, tindakan guru memukul atau mendenda pelajar dianggap oleh pelajar sebagai tindakan untuk memperbaiki kesalahannya atau untuk mendidik diri ke arah kebaikan. Namun kini, jika guru berbuat demikian pelajar akan meninggikan suara untuk menentang guru tersebut. Malah, ada yang tergamak untuk bertindak agresif dengan memukul guru. Perbuatan ini dianggap terkutuk dan pelajar ini terjerumus ke kancah hidup yang tidak bermoral. Malah ada golongan pelajar yang menjadikan guru sebagai sasaran melepaskan dendam. Pelajar- pelajar ini menconteng, mencalar dan merosakkan kereta guru. Mereka juga melakukan apa sahaja untuk menunjukkan rasa tidak puas hati termasuklah mengugut dan mencederakan guru.

 Guru memberikan limu dan tunjuk ajar untuk mencapai kejayaan. Ilmu sangat penting kepada manusia. Peribahasa berbunyi, "Hina besi kerana karat, hina manusia kerana tiada berilmu". Peranan guru amat penting dalam mengubah corak hidup dan cara berfikir pelajar. Oleh itu, pelajar wajib menghormati guru untuk mendapat ilmu yang berkat.


Satu daripada adab belajar yang paling asas ialah menghormati guru. Hubungan yang harmonis antara murid dengan guru akan menjamin proses pemerolehan ilmu yang benar, berguna dan berkat. Guru akan berasa dihargai apabila pelajar menghormati guru. Guru perlu dihormati kerana guru menyampaikan ilmu kepada kita.  Guru juga mendidik kita supaya menjadi  orang yang berguna. Contohnya, pelajar boleh mengucapkan selamat  sejahtera apabila berjumpa dengan  guru. Pelajar juga tidak boleh sombong terhadap guru.        

Pelajar juga boleh menghargai guru dengan cara menyiapkan kerja sekolah mereka.. Mereka mesti menghantar kerja sekolah  mengikut masa yang ditetapkan. Jika terdapat kesalahan dalam latihan, guru akan membetulkannya. Dengan ini pelajar dapat membuat pembetulan. Mereka juga boleh menghargai guru dengan cara berdisiplin semasa di sekolah. Disiplin sangat penting kerana boleh menjadikan mereka berjaya dalam pelajaran. Mereka perlu mematuhi peraturan sekolah. Sebagai contoh,mereka perlu datang awal ke sekolah dan tidak terlibat dalam gengsterisme, vandalisme, ponteng sekolah, melepak dan lain-lain. Oleh itu,jadilah pelajar yang berdisiplin.        

Pelajar boleh menunjukkan kasih sayang kepada guru. Pelajar boleh membantu guru dengan membawakan buku-buku guru ke bilik guru. Mereka juga boleh memberikan hadiah kepada guru semasa sambutan hari guru pada 16 Mei.          

Selain itu, pelajar boleh  menghargai guru dengan mengenang jasa  guru.  Hal ini disebabkan guru telah banyak berjasa. Sebagai contoh, ketika guru sakit, pelajar hendaklah menziarahinya. Dengan ini guru akan berasa gembira dan bangga terhadap pelajarnya.  Guru yang mengajar dengan penuh hikmah adalah guru yang mempunyai kesefahamah yang jitu. Mereka yang mempunyai kesefahamah yang jitu antara satu sama lain akan berasa diri mereka disayangi dan dikasihi.Apabila setiap insan berasa disayangi dan dikasihi di dalam sebuah komuniti maka mereka akan bertindak dengan penuh ikhlas dan berdedikasi.

Selain tips membina hubungan pelajar dan guru tersebut, ada beberapa langkah lain yang lebih spesifik dalam membaiki dan mengukuhkan hubungan kedua belah pihak ini. Sikap toleransi boleh didefinisikan sebagai sikap sedia menghormati atau menerima pendapat atau pendirian orang lain yang berbeza daripada pendirian sendiri. Saling mengamalkan sikap toleransi juga merupakan salah satu cara mempertingkatkan hubungan baik antara guru dan pelajar. Guru-guru dan pelajar harus saling bertimbang rasa. Guru-guru dan pelajar juga harus menggunakan intonasi yang sesuai dan saling memahami tanggungjawab masing-masing. Guru yang berwibawa dan berkarisma tinggi perlulah memulakannya dengan seikhlas hati. Dalam konteks untuk menimbulkan keikhlasan hati, guru perlulah merenung kembali akan tujuannya menjadi seorang pendidik nusa. Dengan cara sebegini, hubungan guru dan pelajar akan dapat diperkukuh dan dieratkan untuk menjamin kejayaan aspirasi sekolah.

 Guru-guru dan pelajar juga harus saling hormat meghormati dan sayang-menyayangi. Guru-guru dan pelajar boleh memberi salam dan bertanya khabar. Guru harus bersikap kasih sayang terhadap pelajar dan berpegang kepada prinsip bahawa setiap pelajar boleh diajar dan mahu belajar mengutamakan nilai-nilai kemanusian serta menghormati harga diri pelajar sebagai individu. Seorang pujangga bernama William A. Wart pernah berkata ‘’Kegagalan terbesar adalah kegagalan untuk mencuba.’’ Dengan itu, guru harus sentiasa mendorong para pelajar untuk terus mencuba untuk belajar dan berjaya dalam bidang akademik. Kedua-dua guru dan pelajar tidak patut melafazkan kata-kata yang kesat dan yang menyinggungkan. Para pelajar juga perlu memberi peluang kepada guru-guru untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka.


     Guru dan pelajar perlu menanamkan semangat muhibah dalam diri masing-masing seperti sikap tolong menolong, bantu memebantu dan faham memahami. Objektif ini boleh dicapai sekiranya pihak Sequoyah sanggup mengeluarkan sedikit perbelanjaan untuk mengangjurkan aktiviti-aktiviti yang dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain. Antara aktiviti yang boleh dilaksanakan ialah seperti riadah, hari keluarga, projek amal, lawatan dan jamuan.Dengan semua kegiatan ini, guru akan dapat bergerak dengan lebih yakin tanpa menoleh ke belakang untuk terus-terusan menempa kejayaan dalam dunia  pendidikan. Hakikatatnya, kita mempunyai banyak idea untuk dilaksanakan tetapi sesuatu yang paling mustahak ialah memulakan sesuatu.Bak kata punjangga,”perkara yang palling sukar untuk dilakukan ialah memulakan sesuatu.’’

     Dengan mengadakan kegiatan kemasyarakan juga boleh mempertingkatkan hubungan baik antara guru dan pelajar. Kegiatan kemasyarakatan yang boleh dijalankkan adalah seperti mengumpul dana, mangumpulkan suratkhabar dan membersihkan rumah-rumah tumpangan anak-anak yatim dan rumah-rumah tumpangan orang tua. Dengan melakukan kegiatan-kegiatan sebegini pelajar juga boleh mempelajari tentang nilai-nilai murni. Pelajar-pelajar juga mungkin akan lebih menghargai ibu bapa mereka yang merupakan khalifah yang telah dititahkan oleh Allah s.w.t untuk mendidik, membimbing dan membesarkan mereka. Nilai-nilai murni yang akan dipelajari mereka tidak boleh dibeli dengan wang. Begitu juga dengan waktu yang mereka habiskan bersama guru-guru mereka untuk membuat  kerja-kerja kebajikan.











3.0       KESIMPULAN

Bagi pelajar dan ibu bapa, hargailah pengorbanan guru serta elakkan suasana yang boleh mencetuskan ketegangan dalam hubungan antara guru, murid dan masyarakat. Sikap menghormati guru dapat mengeratkan hubungan guru, murid, ibu bapa dan masyarakat. Justeru apabila guru sudah berusaha sedaya mungkin menunaikan tanggungjawab dengan ikhlas, pelajar pula perlu ikhlas menuntut ilmu kerana dengan cara itu akan memudahkan proses pembelajaran. Guru teruskan perjuangan menabur ilmu dan anak murid berusaha menimba pengetahuan di bawah bimbingan guru sementara ibu bapa hendaklah memantau perkembangan pendidikan. Apabila semua berfungsi dengan baik, cabaran mendepani sistem pendidikan akan dapat diatasi.

            Hakikatnya guru tidak meminta wang ringgit dan harta sebagai balasan. Cukuplah setiap pelajar menghormati dan mengenang jasa mereka yang telah mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit mendidik para pelajar. Hubungan antara guru dan murid perlu sentiasa disuburkan dengan kemesraan supaya wujud kasih sayang antara kedua- dua belah pihak. Adalah penting mewujudkan hubungan yang harmoni antara guru, murid dan ibu bapa demi menjamin keharmonian dan kesejahteraan seluruh generasi. Apabila ketiga- tiga pihak ini dapat bersatu dengan baik, ketamadunan negara dan masyarakat akan terpelihara.













4.0       REFLEKSI


Alhamdulillah, bersyukur kepada Tuhan kerana dengan rahmatNya saya telah dperkuatkan dan diperilhamkan untuk menyiapkan tugasan Asas Kepimpinan dan Profesionalisme (EDU 3108). Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada Cik Guan Teik Lee selaku pensyarah subjek atas segala bimbingan dan tunjuk ajar sepanjang proses menyiapkan tugasan ini.

Tugasan ini mengkehendaki saya untuk memilih mana- mana artikel daripada laman- laman web rasmi yang berkaitan dengan isu guru atau keguruan seterusnya mengulas dan menganalisis artikel tersebut berdasarkan rujukan- rujukan ilmiah. Melalui tugasan ini, saya telah menimba ilmu pengetahuan terutamanya berkaitan dengan artikel yang saya pilih iaitu isu semasa guru. Artikel yang dibaca dengan terperinci ini menimbulkan kesedaran dan keinsafan kepada saya tentang nilai dan kedudukan guru di zaman yang serba moden ini. Artikel ini telah membuka mata saya serta memberi ruang dan peluang untuk saya berfikir dan memuhasabah diri tentang peranan dan tanggungjawab sebenar yang perlu dipegang oleh guru.

Semasa saya mengulas dan menganalisis artikel ini, saya turut membuat pembacaan di beberapa artikel dan rujukan bacaan lain yang berkaitan supaya pandangan dan perspektif saya dipandu oleh rujukan- rujukan ilmiah. Saya juga berusaha mencari idea- idea baru yang segar dalam melontarkan pandangan dan perspektif saya terhadap isu ini.


Harapan saya semoga ulasan dan analisis yang telah dilakukan boleh dijadikan rujukan dan panduan banyak pihak terhadap isu ini. Selain itu, saya mengharapkan ulasan dan analisis artikel ini juga dapat memberi kesedaran dan keinsafan kepada pelbagai pihak terutamanya diri saya sendiri supaya tidak lagi terus berpeluk tubuh dengan masalah yang berlaku sebaliknya mempersiapkan diri untuk melakukan sesuatu perubahan dalam membantu mengatasi masalah ini setelah bergelar sebagai guru terlatih kelak.

5.0       RUJUKAN








Sunday, 2 September 2012