Total Pageviews

pencinta ilmu. Powered by Blogger.

Monday, 27 August 2012

isu 2 : kerjaya guru terpaksa atau minat?


 by : Prabhu a/l ragawan

Pada masa kini, bidang keguruan telah menjadi kegilaan ramai. Dalam erti katalain, pekerjaan guru kini menjadi minat kepada ramai golongan muda di Malaysia. Ini ternyata jelas menerusi peningkatan bilangan pelajar lepasan SPM yang memohon masuk ke Institut Pendidikan Guru. Bilangan ini kian meningkat setiap tahun sehingga mengakibatkan kesukaran kepada Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memilih bakal guru yang sememangnya layak dan berkebolehan. Apatah lagi terdapat juga pelajar lepasan SPM  yang sanggup menolak tawaran JPA semata-mata untuk mendapatkan tempat di Institut Pendidikan Guru.
            Meskipun peningkatan minat terhadap kerjaya sebagai guru kian meningkat, namun ianya menimbulkan beberapa persoalan yang perlu diberi perhatian. Secara umumnya, Institut Pendidikan Guru menawarkan kursus Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan memberikan elaun kepada semua pelajar lepasan SPM yang berjaya mendapat tawaran. Ini bermakna, pelajar bergelar mahasiswa ini tidak perlu membayar semula elaun yang diberi sepanjang tempoh menuntut di Institut Pendidikan Guru. Ianya berbeza dengan mahasiswa dari Universiti yang perlu membayar semula pinjaman yang diberikan sepanjang tempoh menuntut di Universiti. Selain itu, mahasiswa lepasan Institut Pendidikan Guru juga telah dijamin penempatan untuk berkhidmat sebagai guru sebaik sahaja tamat kursus pengajian. Ianya juga berbeza dengan mahasiswa lepasan Universiti yang perlu mencari kerja sebaik sahaja tamat kursus pengajian mereka.  
            Menerusi artikel yang telah dibaca, saya berpendapat bahawa profesion guru kini telah menjadi satu bidang kerjaya yang menjadi tarikan ramai pelajar berikutan dengan keselesaan yang ditawarkan sepanjang kursus tersebut. Tujuan Kementerian Pelajaran Malaysia memberi pelbagai keistimewaan kepada pelajar Institut Pendidikan Guru bukan hanya melahirkan bakal guru yang berkualiti malah untuk membantu dalam membentuk nilai manusia yang terpuji. Namun, suasana yang wujud pada masa kini telah berubah sama sekali. Masing-masing hanya mengejar keselesaan yang diperolehi menerusi kerjaya sebagai guru. Keselesaan yang dimaksudkan adalah dari segi gaji bulanan yang tetap, imbuhan, elaun tambahan dan juga bantuan pinjaman perumahan yang penuh.
            Persoalan yang wujud kini iaitu mengapakah ramai bertanggapan bahawa bidang guru hanya menjadi sebagai satu kerjaya dan bukannya disebabkan keikhlasan. Guru adalah individu yang melahirkan insan yang bergelar doktor, jurutera dan juga menteri. Sekiranya seorang guru itu hanya menganggap profesion perguruan itu sebagai kerjaya, maka sudah tentu mereka tidak akan mencapai kepuasan. Kepuasan yang dimaksudkan ini adalah satu pencapaian yang menujukkan keikhlasan terhadap kerjaya yang dimiliki.
            Tambahan lagi, saya juga amat kagum terhadap golongan guru yang bertungkus lumus dalam mendidik anak murid masing-masing. Didikan secara ikhlas hanya akan wujud apabila seorang guru itu tidak mengharapkan sebarang balasan terhadap didikan yang diberi. Keikhlasan ini akan membantu dalam kejayaan murid berkenaan dalam mencapai kejayaan yang cemerlang hasil didikan guru yang ikhlas. Kejayaan murid menunjukkan kepuasan guru tersebut dalam memberi didikan yang sempurna kepada mereka.
            Kementerian Pelajaran Malaysia telah merancang pelbagai kursus yang bermanfaat kepada guru. Tujuan kursus ini dilaksanakan adalah untuk membantu dalam mewujudkan kesedaran dalam diri guru-guru terhadap keikhlasan mendidik anak murid untuk menjadi insan yang berguna pada masa hadapan. Namun, setakat manakah keberkesanan dasar ini mewujudkan keikhlasan dalam diri guru-guru pada masa kini.
            Keikhlasan seorang guru dapat dilihat dalam pelbagai aspek. Didikan seorang guru tidak semestinya melibatkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah malah juga di luar bilik darjah. Sepertimana yang dikatakan, guru memainkan peranan dalam membentuk insan yang berpekerti mulia untuk bergaul mesra dalam masyarakat yang berbilang kaum. Didikan ikhlas penting dimulakan sewaktu murid-murid berada di bangku sekolah rendah. Pengajaran yang ikhlas yang dilaksanakan menerusi sesi pengajaran dan pembelajaran akan membolehkan murid-murid memahami ilmu yang disampaikan dengan lebih jelas. Kejayaan dalam bidang akademik sebegini akan membolehkan guru mencapai kepuasaan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.
            Hal ini berbeza dengan sesi pengajaran di luar bilik darjah iaitu aktiviti sukan dan permainan. Keikhlasan penyampaian ilmu adalah amat penting untuk membolehkan ilmu yang disampaikan itu jelas dan diberkati. Keikhlasan ini bukan hanya ditunjukan terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, malah turut ditunjukkan dalam pengajaran di luar bilik darjah. Didikan luar bilik darjah yang dimaksudkan adalah pengajaran berbentuk sukan dan permainan ataupun unit beruniform. Hal ini amat penting kerana ia melibatkan kesediaan guru dalam mengorbankan masa untuk pencapaian cemerlang anak murid masing-masing. Lebih-lebih lagi, guru yang sedia mengadakan sesi latihan untuk latihan pasukan sekolah yang memerlukan guru mengorbankan masa demi anak murid masing-masing.
Tambahan lagi, peranan dan tanggugjawab sebagai seorang guru sememangnya mulia dan tidak ternilai harganya. Profession guru sebagai seorang pendidik dan pengajar tidak dapat disamakan dengan profession yang lain. Ini adalah disebabkan pengorbanan dan perjuangan guru adalah semata-mata untuk melihat anak bangsa mereka berjaya di masa hadapan. Dalam erti kata lain, satu bangsa, satu Malaysia. Pendidikan merupakan alat yang sangat penting dalam melahirkan modal insan untuk menentukan arah tuju negara dalam menghadapi arus pembangunan. Falsafah pendidikan adalah untuk melahirkan individu yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Bagi merealisasikan falsafah ini, setiap insan memerlukan satu usaha yang menyeluruh. Apatah lagi kerjaya sebagai seorang pendidik ini memerlukan individu yang ikhlas dalam menyebarkan ilmu.
Tanggungjawab guru bukan semata-mata sebagai pengajar. Pendidik merupakan insan yang membawa erti yang luas berbanding pengajar. Pengajar pula merupakan insan yang lebih menjurus kepada individu yang bergelar guru yang mencurahkan ilmu pengetahuan kepada anak didiknya. Namun,  konsep pendidik bukanlah hanya mengajarkan sesuatu ilmu tetapi turut berperanan dalam mendidik rohani, jasmani, fizikal dan mental anak didiknya. Ini adalah penting dalam menghayati dan mengamalkan perkara yang telah dipelajari.
Guru yang memiliki sifat pendidik akan memastikan sesuatu ilmu yang disampaikan dihayati untuk mweujudkan keperabadian dan tabiat anak didiknya yang mulia. Oleh yang sedemikian, peranan sebagai pengajar berada dalam fikiran namun peranan sebagai pendidik pula telah tersemat dalam hati setiap insan yang bergelar guru. Menerusi pemahaman peranan ini, guru-guru perlu mencerna dan menghayati tema hari guru pada setiap tahun yang dicipta khas dan bersesuaian dengan masyarakat pada masa kini.
Keikhlasan guru adalah menjalankan tanggungjawabnya sebagai guru. Seperti yang telah saya katakan, setiap guru perlu memiliki sikap sedia bekorban untuk memastikan urusan dan tanggungjawabnya terhadap murid dilaksanakan. Semua murid disekolah adalah menjadi tanggungjawab guru untuk  melatih, mengajar dan memupuk nilai-nilai murni termasuk hubungan kekeluargaan, kemesraan dan keikhlasan dalam diri murid-murid yang kini semakin terhakis.
Namun sejak kebelakangan ini, pelbagai perspektif negative terhadap guru telah dilontarkan. Apatah lagi ianya terpapar jelas di depan muka akhbar yang menyiarkan guru merotan murid sampai luka, guru sepak pipi murid dan guru berkata lucah kepada murid. Segala isu yang timbul ini boleh diibaratkan sebagai cebisan yang mencemarkan nama baik profesion keguruan jika dibandingkan dengan pelbagai kejayaan yang dicapai oleh guru dalam melahirkan banyak pemimpin, doktor dan peguam.
Segala kejadian ini menunjukkan bahawa cabaran guru pada masa kini semakin meningkat. Apatah lagi, dunia kini telah berubah menjadi dunia tanpa sempadan dengan teknologi yang ada semakin berkembang maju. Guru juga perlu melengkapkan diri dan mampu menurunkan ilmu berkenaan kepada anak didik mereka. Ini akan membolehkan mereka untuk tidak terpengaruh dengan unsur-unsur negatif. Perhatian guru terhadap anak murid perlulah lebih mesra dan ikhlas agar peribadi anak murid tersebut mudah dibentuk dengan acuan yang sepatutnya. Saya memang tidak menafikan pembaharuan yang dibawa oleh guru di Malaysia kerana ianya amat besar.  Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu berbangga dengan status Malaysia yang berada di persada. Namun kejayaan besar yang kita kecapi selama ini, semuanya adalah berkat  seorang insan yang bernama guru. Guru merupakan insan yang tidak mengenal erti penat lelah, sanggup berkorban masa dan tenaga demi anak bangsa pada masa hadapan.
Guru merupakan pembentuk suasana dan juga masyarakat serta kejayaan untuk negara. Seterusnya, ramai yang  sering memperkatakan tentang erti keikhlasan seorang guru. Selain itu, ada juga yang sering  mempertikaikan keikhlasan seseorang guru. Apatah lagi apabila terdapat beberapa golongan yang mendakwa tindakannya itu dibuat secara ikhlas. Namun, adakah setiap insan memahami erti ikhlas yang sebenarnya. Setiap manusia di dunia pada masa kini terlalu kurang keikhlasan. Adakah  sebagai guru, kita memliki keikhlasan dalam mengajar, mendidik dan berniaga.
Pada masa yang sama, timbul satu persoalan tentang keikhlasan. Adakah kita sebagai manusia sukar dan tidak mudah mencapai keikhlasan manakala bagi mereka yang benar-benar mendalami erti perguruan, berjaya mencapai keikhlasan dalam profesion perguruan untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara ikhlas. Setiap daripada kita mudah untuk melafazkan kata ikhlas dan mudah juga untuk cuba menyakinkan diri sendiri bahawa kita ikhlas dalam perjuangan sebagai seorang guru, namun sejauh manakah keikhlasan dalam melaksanakan tugas dan kewajipan sebagai guru dalam mendidik anak bangsa untuk membentuk pelapis negara yang utuh.
Selain itu ,terdapat juga beberapa pihak yang mengatakan bahawa ketidakikhlasan seorang guru itu dapat dilihat dengan jelas menerusi tanda-tanda pada mulut seperti tutur katannya.dan juga tulisan melalui baris ayatnya, dari tindakan melalui memek wajah dan pergerakannya. Ianya penting kerana dapat meneliti dan memperbaiki diri sendiri dan bukannya ghairah dan sibuk meneliti keikhlasan.
Pada pendapat saya, tugas, amanah, tanggungjawab dan akauntabiliti yang terletak di bahu seorang guru bukan satu perkara yang mudah untuk dilaksanakan dengan baik dan jayanya. Lebih-lebih lagi, guru perlu menyampaikan ilmu berpandukan falsafah pendidikan negara di mana guru merupakan insan yang mampu melahirkan anak murid dan pelajar yang seimbang dari segi jasmani,emosi,rohani dan intelek. Dalam era menuju ke alam dewasa ini  setiap manusia sering dikejutkan dengan cerita dan khabar angin yang negatif tentang masalah guru-guru seperti masalah sosial, jenayah seksual dan juga penyalahgunaan dadah. Sepertimana yang saya katakan sebelum ini, segala maklumat negatif yang tidak sahih sering menjadikan kerjaya sebagai seorang guru tidak lagi dihormati dan disanjung tinggi seperti dahulu. Pada pendapat saya, seorang guru bukannya mahukan sanjungan tetapi keikhlasan, Itu amat penting bagi seorang guru dalam mendidik anak bangsa agar guru itu dianggap sebagai lilin yang mengorbankan diri untuk kejayaan anak murid.
Bagi saya, akar umbinya bermula dari guru itu sendiri. Guru merupakan pembentuk kepada tiang yang utuh bagi memastikan anak murid masing-masing berjaya. Persoalannya, sejauh manakah keikhlasan seorang guru apabila menjadikan profesion perguruan sebagai pilihan pekerjaan kedua atau pilihan terakhir. Untuk itu, adalah penting untuk kita menjadikan profesion  guru sebagai pilihan yang pertama .Segala-galanya haruslah menjadi keutamaan. Sebagai contoh, pertama dalam mengajar, pertama menyentuh hati pelajar, pertama di hati pelajar, pertama menyeru kebaikan dan pertama dalam membuat kebaikan.”
Selain itu, salah satu pertanyaan yang sering menganggu sanubari adalah apabila wujudnya golongan yang selalu melakukan provokasi berkenaan dengan keikhlasan seorang guru dalam menyampaikan ilmu kepada anak murid. Persoalannya adalah guru yang memilih kerjaya ini berdasarkan gaji yang diperoleh. Namun, saya tidak ingin untuk bertanyakan tentang pilihan cita-cita dan sebab  untuk menjadi seorang guru tetapi, saya ingin mengetengahkan kesungguhan untuk menjadi seorang guru. Kesungguhan yang dimaksudkan adalah termasuk keikhlasan dalam melaksanakan kewajipan sebagai seorang guru. Keikhlasan sememangnya tidak berkaitan dengan gaji yang diterima meskipun wang ringgit merupakan salah satu keperluan dalam hidup.
Jelas terlihat kebiasaannya seorang guru akan memenuhi jumlah jam kerja, hadir setiap hari, tepat waktu hadir, tepat waktu pulang, sesuai dengan jadual mengajar, padahal keadaan sedemikian hanyalah menunjukkan pengertian disiplin internal dan ianya masih belum mencapai keikhlasan. Untuk itu, apabila memilih untuk menjadi pendidik, setiap guru wajib mendalami isi hati masing-masing supaya mereka dapat membandingbezakan antara keikhlasan dan juga keinginan. Hal ini berbeza pula dengan keikhlasan guru dalam mendekati anak murid masing-masing. Pendekatan secara ikhlas ini penting untuk guru mengenalpasti perkembangan masalah sosial yang kian meruncing sekarang yang kebanyakkanya berpunca daripada pengaruh rakan sebaya disekeliling mereka.
Tambahan lagi, guru perlu bijak dalam menyesuaikan diri dengan setiap anak didiknya. Sebenarnya, mendidik seseorang murid itu bukan hanya berasaskan nafsu semata-mata dan  tidak mempunyai perasaan dendam kerana setiap murid perlu didekati secara psikologi dengan ikhlas. Seorang guru perlu juga ikhlas menghormati dan menganggap anak muridnya seperti anak atau adik mereka sendiri. Di sini perlu wujudnya keikhlasan dalam memberi tumpuan dan didikan supaya anak didik mereka berjaya melakukan perubahan besar dalam hidup.
Cabaran besar sememangya menanti warga pendidik dalam bersama-sama berusaha mewujudkan jurang yang lebih rapat antara guru dengan pelajar supaya mereka dapat merasakan wujudnya hubungan akrab yang terjalin antara mereka. Bagi murid-murid  yang degil, guru perlu menggunakan kesempatan dan kemahiran mereka berhubung secara ikhlas dengan lebih kerap, Keakraban ini akan membolehkan terjalinnya hubungan mesra yang ikhlas antara guru dengan murid yang memberi peluang kepada murid untuk berkongsi masalah bersama guru masing-masing. Murid yang perlu didekati sudah tentu dikenalpasti oleh guru itu sendiri dimana guru sedar murid yang bermasalah biasanya datang daripada keluarga yang bermasalah.
Guru juga disarankan untuk tidak mengambil keputusan secara terburu-buru meskipun ikhlas dalam membantu pelajar sebegitu. Ini adalah berikutan murid bermasalah tidak suka dipaksa, maka langkah terbaik buat mereka adalah beri mereka peluang dan masa untuk berubah.
Untuk itu, saya berpendapat bahawa setiap orang perlu sentiasa mendoakan kesejahteraan guru atas keikhlasan mereka terhadap anak murid mereka walaupun mereka tidak lagi mengajar. Ini penting kerana setiap kejayaan yang kita kecapi hari ini sudah pasti berpunca daripada didikan yang dicurahkan secara ikhlas  kepada kita.  Haruslah disedari agar jangan berasa bangga dan sombong dengan  apa yang kita miliki sekarang kerana ianya adalah keberkatan dan keikhlasan seorang guru. Seperti yang sedia maklum, cikgu merupakan insan yang cemerlang dan unggul. Pada pandangan saya, perkataan cikgu itu sendiri membawa pelbagai erti yang harus kita semua dalami. Cikgu adalah bersamaan dengan cemerlang insan kerana guru unggul.
C = Cemerlang
I = Insan
K = Kerana
G = Guru
U = Unggul

Erti yang mendalam ini menjelaskan bahawa tugas tugas seorang pendidik bukan hanya mengajar dan mengambil gaji apabila cukup bulan, tetapi perkara yang paling utama dalam menjadi seorang guru atau pendidik adalah keikhlasan. Dalam erti kata lain, asalkan ikhlas, semuanya diberkati. Keikhlasan ini juga turut dikaitkan dengan kepuasan seorang cikgu apabila anak muridnya mendapat ilmu yang disampaikan. Apatah lagi guru akan menjadi amat gembira dan puas hati melihat anak muridnya telah berjaya dalam hidup. Jika guru hanya mengajar semata-mata untuk mendapatkan gaji, mungkin guru berkenaan tidak akan mendapat kepuasan tersebut sebaliknya hanya mendapat tekanan.
Oleh yang sedemikian, saya berharap agar tiada individu yang akan mempertikaikan  keikhlasan seseorang guru. Ini penting sebagai peringatan dimana tugas guru dahulu dan kini adalah sama sahaja. Tugas yang dimaksudkan adalah dalam melaksanakan sesi pengajaran dan mendidik anak murid menjadi insan yang mulia. Apatah lagi dengan berkelayakan ijazah , guru-guru pada masa kini sedia berkongsi pejabat dengan puluhan guru-guru yang lain dengan berkongsi kipas sambil mengetip kertas saban hari. Rutin hidup ini tidak pernah dijemui oleh mana-mana guru kerana keikhlasan mereka untuk melaksanakan tugasan sebegini. Tambahan lagi, guru-guru juga sedia berkorban masa bukan sahaja untuk anak murid malah untuk perkembangan maju sekolah seperti menghadiri kursus di luar sekolah, melayan karenah ibu-bapa murid, menghadiri pelbagai mesyuarat dan sedia menyertai sebarang program anjuran JPN. Meskipun kenaikan pangkat dan gaji dalam sector awan adalah perlahan, namun sikap penyabar dalam menunggu menunjukkan keikhlasan setiap guru menyampaikan ilmu tanpa mengharapkan sebarang balasan. Untuk itu, moga tuhan membalas jasa-jasa guru dengan memberkati hidup mereka.
Akhir sekali, ingin saya ulaskan bahawa setiap insan yang bergelar guru wajar menganggap profesion guru itu sebagai satu profesion yang mulia. Guru adalah pembentuk masyarakat yang berjaya. Maka, tanggapan guru hanya sebagai kerjaya akan mengakibatkan seseorang guru berkenaan tidak akan dapat menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran secara ikhlas. Tugasan yang dilaksanakan dengan ikhlas akan membolehkan insan yang bergelar guru ini berpuas hati dengan tanggungjawab yang telah dilaksanakan. Sememangnya guru berkenaan akan lebih bangga dan berpuas hati apabila melihat anak muridnya mencapai kejayaan sepertimana yang diharapkan. Tanpa guru, sudah tentu tidak terbentuknya insan yang bergelar doktor dan juga doktor. Anak murid yang tiada bimbingan dan didikan guru diibaratkan ,” Anak ayam kehilangan ibunya”.  Akhir kata, guru adalah segala-galanya kepada setiap murid sejak mereka dibangku sekolah rendah.

2 comments: